Saturday, August 29, 2009

14 dari sejuta kata

hulurkan tanganmu, biar kugenggam erat.. seperti dulu



diawal kata - adalah sayang
didalam cerita - adalah cinta
dihujung kisah - adalah resah dan dukalara

Thursday, August 27, 2009

...dalam

Mmm, kamasutra?



dalam ingatan ada bayangan
dalam suka ada duka
dalam resah ada rindu
dalam diam ada bicara
dalam hati ada cinta
dalam air ada mata
dalam debar ada getar
dalam cerita ada derita
dalam dakapan ada syurga
dalam khayalan ada impian
dalam fikiran ada harapan
dalam waspada ada was-was
dalam keinginan ada keberanian
dalam janji ada apa ???
dalam lautan hendak diduga??
dalam aku ada engkau
dalam engkau ada aku
...................................?
dalamnya cinta apakah kau tau?
ujilah ...ujilah

Tuesday, August 25, 2009

catatan senja

aku dan dia


pernahkah engkau dengar
kicauan sepasang burung
yang hinggap di pohon rimbun
dengan resah rindu
dalam kedinginan sepi pagi hari,
bercerita tentang bunga-bunga
dan musim-musim kembang
bercerita tentang hujan
yang menyegarkan bumi gersang,
bumi kita yang semakin kepanasan!

hutan kita telah banyak yang ditebang
haiwan semakin sukar mencari makanan
pohon tidak lagi berbuah
dan buah pun tidak lagi se-ranum dahulu

catatan dihujung senja;
disana dahulu ada sepohon ara
subur dan rimbun
kini telah tiada
hilang ditelan zaman
yang tinggal hanya puing-puing
dan angin musim kering.

Monday, August 24, 2009

PUSARA





ketika orang ramai berduyun-duyun berjalan
menuju tanah perkuburan
dan aku sebahagian dari mereka itu
lalu mereka mengelilingi pusara kerabat masing-masing
mencabut rumput dan membersihkan daun-daun kering
sambil berdoa dan sedekahkan fatihah
pusara itu juga disirami air yang di doakan kaum kerabat dan para sahabat
serta ditaburi bunga-bunga

dan aku disitu menyusunkan batu-batu
menjadkannya nesan dan sebuah pusara entah milik siapa
menyirami pusara itu dengan airmata
lalu orang-orang yang lalu-lalang bertanya sesama mereka
siapakah ini dan itu pusara siapa?
ada terdengar suara sayup dibalik pohon rimbun
'ini seorang penyair yang hatinya telah patah
dan pusara itu adalah kubur cintanya yang telah mati'

sebelum aku pergi
sempat ku catat kata-kata duka dipusara
'bahawa segalanya adalah kerana "dia"'

Thursday, August 20, 2009

JERIT JIWA YANG MATI






lalu kita tusuki pisau tajam bernama cintalara kedalam dada kita
dan kita terasa betapa pedihnya dan berbisa
lalu api-api itu pun marak menyala, membara dan membakar seluruh tubuh
dan kita terkapar dan menggelepar
ini yang dinamakan cinta ... adalah permainan dari zaman purbakala
laila dan majnunnya, shah jehan dan Mumtaz Mahalnya serta uda dan daranya
mereka terbakar oleh api itu di syurga dan di neraka juga, dan
ketika aku ingin mendakap tubuhmu erat-erat atas nama cinta
'segalanya adalah kerana sayang' - seperti katamu
tetapi di hujung sebuah cerita cinta yang kita cipta ini
tangan siapakah yang akan terbakar oleh apinya? akukah?
kerana ini adalah pelarian cintamu sedangkan aku hanyalah
batu-batu didalam sungai itu dimana kamu akan memijaki aku
untuk keseberang...untuk keseberang sana.

lalu aku tusuki pisau tajam bernama cintalara kedalam dadaku
dan aku terasa betapa pedihnya dan berbisa
lalu api-api itu pun marak menyala, membara dan membakar seluruh tubuh
dan aku terkapar dan menggelepar
sebagaimana pohon-pohon kayu yang membakar dan memarakkan api didalam neraka
engkau menjadikan api itu lebih panas lalu membakar seluruh jasadku menjadi debu-
debu namun setelah itu
roh yang tinggal itu masih tetap bersuara dan menyatakaan
bahawa aku akan menyesal seumur hidupku jika tidak mencintaimu
dikehidupan ini atau pun kehidupan sesudah mati.

Wah! ditanganmu adalah jantungku yang kau genggam, kau cengkam
mahu kau apakan ia? perpisahan akan merentap nyawa dari jasadku




Nota:
Shah Jehan @ Shahab-ud-din Muhammad Shah Jahan I (Al-Sultan al-'Azam wal Khaqan al-Mukarram)
was the ruler of the Mughal Empire in the Indian subcontinent from 1628 until 1658. The name Shah Jahan comes from Persian meaning "King of the World." Taj Mahal at Agra built as a tomb for his wife Mumtaz Mahal (birth name Arjumand Banu Begum).

Wednesday, August 19, 2009

AKU DAHULU

yang terpaksa gagah meredah rimba kehidupan
yang hilang arah atas ketentuan
yang menemui diri dan bersendiri
yang masih tegap menuju destinasi
aku dahulu
dan kini



gambar old school - azam, ardiana, zauriti dan md. khayyam - ini dulu, sekarang dua-dua dah kawin.

Yang lain-lain (dibawah ini) adalah aku sewaktu dalam evolusi diri.







Tuesday, August 18, 2009

AKU DAN DIA

AZAM

ke depan takut
ke belakang resah
mendesak di kiri-kanan
adalah keinginan,
sepi yang parah
tabahlah hatiku
tabahlah
hatiku meraung

AZAM ii
pulau bukit
lautan kabus
bulan pucat atas kepala
kurebut mentari
panas dan membakar


SIPUT


i

ketika ombak
menghempas pasir pantai
aku terdampar
di batu karang

ii

yang berani laut
yang tabah ombak
yang waspada pantai
yang was-was adalah aku



aku dan politarius di Dali, China


makan malam terakhir di Kunming


makan siang dipedalaman di Dali


penyerahan keluarga angkat di Kg. Kuala Medang, Lipis



bersama blogger Taiping Mali dan Wan Ahmad


keratan akhbar - Travel Times 27 july 2003


close-up keratan akhbar


nOTA:
Sajak-sajak pendek dan sebahagian besar foto adalah ulang siar, sila lihat arkib untuk siaran pertama ~ inipun adalah kerana 'dia'

Sunday, August 16, 2009

KUALA KOH MENUNGGU

Titisan embun pagi yg menyegarkan dedaunan

Sungai di Kuala Koh yg jernih dan segar

Di Tasik Kenyir yg tenang dan Damai, Aku yang menanti dan mencari dimanakah 'dia'


Selain dari itu, aku telah kehilangan suara dan kehilangan kata-kata.........

Lagu-lagu ini ditujukkan kepada 'dia'- nikmatilah kehidupan yang indah ini






Friday, August 14, 2009

SEGALANYA KERANA SAYANG



Segalanya Kerana Sayang

apa lagi yang mampu aku ucapkan kepadamu ketika engkau seakan-akan menagih jawapan
dari sebuah pertanyaan yang tidak kau ucapkan tetapi dalam diam itu aku mendengar
ada suara dalam dadamu yang berbisik dan menyatakan rindu, dan tatkala aku mencari makna kerinduan itu...dimanakah kamu? yang kelihatan hanyalah bayang-bayang yang ketika ingin aku capai berlalu dan hilang dalam kegelapan malam

katakanlah wahai kekasih bahawa kita tidak berdiri disini menghadapi sepi kerana apa yang kita cari adalah yang lahir dari dalam diri..mungkin ianya tidak benar tetapi bukanlan satu pendustaan yang nyata.

kerapkali aku merasa ingin bertanya; siapakah diantara kita yang bagaikan perahu layar yang berhenti di pelabuhan ini ketika kematian angin namun berlayar semula menuju ketengah segara dan meninggalkan pelabuhan ini...sepi sendiri, atau apakah sebuah pulau kecil yang terapong diatas air yang perlahan-lahan hanyut dibawa arus ke tengah lautan dalam lalu meninggalkan perahu layar itu ketika ia kematian angin. Siapa diantara kita yang meninggalkan atau ditinggalkan?

Ini kata-kata dihujung catatan duka; segalanya pun kerana sayang...kerana 'dia'...

Thursday, August 13, 2009

PERPISAHAN

Belasungkawa Rendra;

Puisi bukanlah sebuah pertanyaan, tapi puisi tak ingin menjebak kita dengan jawaban. Seorang penyair akan merasakan gundah ketika orang ramai menuntutnya jadi pemberi fatwa ---- (Goenawan Mohamad, "Rendra, (1935- ....), Catatan Pinggir, Tempo Edisi 25, 10-16 Agustus 2009)

Penyair berasal dari Puisi, dan kepada Puisi penyair kembali. Selamat Jalan, Rendra! - http://sejuta-puisi.blogspot.com/

Itu sejenak buat memperingati Rendra.




**************

Sarah, Hana, Mr. God Father, Diana dan Zuli - Foto kenangan sewaktu di LCCT mengnantar Hana ke Serawak sebelum ke KLIA menghantar Diana ke Norway : Sayangi anak-anak dan anak-anak akan sayangi kita

aku dan menantu (Daniel) di LCCT


BERPISAH

berpisah bukan kata mudah,
bukan madah dalam helah
pisah itu kata resah dan gelisah
beza rasa antara yang tinggal dan meninggalkan
bahkan duka pada yang ketinggalan

hidup ini mencatat perjalanan
satu pertemuan dan satu perpisahan
atau mungkin satu pertemuan semula
silih berganti antara suka dan duka

kita pelajari dan bisakan diri
ketawa pada pertemuan dan sedih pada perpisahan
sebelum perpisahan terakhir nanti
yang memisahkan hidup dengan mati

catatan pada nota kaki;
aku sayang semua kamu
dan aku sayang
- 'dia' juga begitu

4.54pg

Saturday, August 8, 2009

BELAKANG TABIR PERKAHWINAN

Dibelakang tabir perkahwinan, ada bermacam-macam peristiwa walaupun tidak dicatat tetapi sebahagian besarnya masih diingat - sebagai kenang-kenangan untuk sebutan dimasa depan.


yang sedang makan malam sebelum makan besar - akupun macam bayang hitam juga

yang sedang bergotong-royong orang-orang pompuan - sambil gosip-gosip sikit

yang sedang menyiang daging - sambil gotong royong sambil menjeling isteri masing-masing


yang dari Muar pun datang juga

yang bincang2 dan gaduh2 - Hannah dan Sarah

yang tak nampak tu - gelap dalam gelita - dari Raub

yang menemani dan membawa hantaran

yang mengukur panjang muncungnya dan pendeknya lidah yang tergigit

yang lara dan mendukung cucu sedaranya - pariz

yang turut bermain bersama cucu sedaranya - Kak Tee dia