telah terluahlah kebenaran
adikku
segala hitam kehidupan -
yang diukir sebaiknya
sepertimana sebuah mimpi
untuk sebuah mahligai indah,
namun ranap dan musnah
yang tinggal kini hanya puing
bukan senang melayar kehidupan
adikku
menggilap permata dari kasih yang hilang
mencari jalur cahaya dalam duka nestapa
hanya yang tabah sahaja
berjaya menggapai pulau harapan
pulau impian
jangan kau risau
jangan kau sedih
adikku
hidup ini untuk kita
lalui dan kecapai dengan cara berbeza
segalanya harus manis
seperti bibirmu sendiri,
bukannya aku tidak merasa
kadang-kala biduk hanyut dilambung gelombang
mengikut ketentuan
sedangkan kita tidak berhak
menentukan arah yang kita mahu dan bakal dituju
sesekali jadilah camar
adikku
hinggapi tiang-tiang layar
sementara menanti angin sakal berhenti,
belayar itu jangan menentang arus
terbang itu jangan menyunsung angin
sayap jangan mencecah pecahan ombak
jangan tergoda pada buih-buih lautan
bagaimanalah
.........................
hitam kehidupan
dilupakan........
2.6.2009
HITAM KEHIDUPAN – PROSES PENCIPTAAN
Saya tidak belajar sastera dan penulisan puisi secara formal, justru saya tidak tahu bagaimana orang lain menulis puisi mereka. Saya percaya ada berbagai teknik penulisan puisi yang selalu dipraktikkan. Namun saya tidak ingin terikat kepada peraturan itu. Saya menulis secara bebas.....tiada peraturan dan tiada ikatan...
Saya menyukai puisi kerana sifatnya; puisi ini terbuka sifatnya – memberi dan menerima. Puisi selalu mengajak kita berfikir dan berbicara. Puisi menagih makna bukan memutuskan kata bicara.....
.....Diatas adalah puisi dari ilham saya secara langsung..dari fikiran terus komputer..namun puisi perlu dimatangkan..peringkat ini akan mengambil masa beberapa lama... (?) dimana kita akan memberikan sentuhan kepada perkataan-perkataan tertentu dan mengubahnya kepada yang lebih bermakna dan indah didengar...sifat puisi itu sendiri adalah keindahan.
Pada ketika puisi mula ditulis....ia sudah membawa maksud tertentu. Pada ketika ini puisi itu adalah milik kita.....milik penulis. Dalam peringkat kematangan perubahan dilakukan disini dan disana dan akhirnya apabila segalanya selesai, puisi itu bukan lagi milik kita..dan ia memberi maknanya sendiri........tersendiri yang kita juga sukar memahaminya....satu persatu....
Dalam peringkat kematangan juga, puisi berubah bukan sahaja dari segi isi dan maknanya tetapi sifat, fizikal dan bentuk luarannya juga turut berubah supaya ianya juga indah dilihat walaupun kita tidak membaca dan memahami maknanya. Puisi sentiasa akan berubah...dan berubah-ubah...oleh itu apabila sampai keperingkat kematangannya..dimana kita berpuashati....puisi itu jangan lagi disentuh, cukup setakat itu sahaja..kerana ia bukan lagi milik kita.
Dibawah ini saya perturunkan puisi yang sama yang telah melepasi peringkat kematangannya. Kita boleh perbandingkan antara keduanya. Saya percaya yang kedua ternyata lebih indah tetapi sukar ditangkap maknanya.......
HITAM KEHIDUPAN
sudah terluah
kata terbongkar rahsia
adikku
segala kebenaran
segala hitam kehidupan -
diukir sebagaimana mimpi
sebuah mahligai
indah, namun ranap dan musnah
yang tinggal hanya puing.....
bukan mudah melayar
kehidupan
adikku
menggilap permata dari kasih yang hilang
mencari antara sejalur cahaya dalam duka
tabah menggapai harapan -
pulau impian
jangan resah-gelisah dan jangan berkeluh
-kesah
adikku
hidup ini kata ’pasti’
kita lalui dan kecapai perbezaannya
sebagaimana kepelbagaian dalam warna
(bagaimanapun)
segalanya harus manis
seperti bibirmu........
................
bukannya tidak kumerasa sengsara
tatkala biduk dilambung gelombang
dihanyutkan ketentuan
sedang diri tidak terdaya
menentukan arah yang kita mahu
arah yang bakal dituju.....
emmm!, sesekali kau
jadilah camar
adikku
menghinggapi tiang-tiang layar
sementara menanti angin sakal berhenti -
sebelum berlalu pergi:
belayar itu jangan menentang arus
terbang itu jangan membelah angin
sayap jangan mencecah pecahan ombak
mata jangan silau di buih laut -
bagaimanalah
.........................(?)
hitam kehidupan
dilupakan........
5.6.2009
1 comment:
Salam,,,
Abg TQ.... BEst gilerrrrrrrrrrrrrrr
Post a Comment