Friday, December 23, 2011

sajak musim tengkujuh





bagun pagi melihat langit,
awan dari celah-celah atap daun yang bocor
gelap dan penuh ti...tik-ti...tik hujan
hujan semalam belum reda
dan tanah masih basah,
dahaga pagi dipujuk pahit secangkir kopi
dan sepinggan rebus ubi
bercicah sambal lada garam, ikan asin dan kelapa parut
sekadar pengalas perut,
lalu bergegas ke sungai
mengintai paras air,
sambil melihat perahu di tambatan
entahkan air sungai naik mendadak
di kuala anak-anak sungai air menyenak
wah!  kita dah bah!
dalam hujan yang belum palih
reda pun tidak juga
mengalirkan selut dan lumpur dan ke sungai
dibawa hanyut deras arus dari hulu ke muara
menenggelamkan dukalara
anak kampong di pedalaman.

sungai kita makin berlumpur dari dahulu
tentu bumi kita semakin parah
kerana bukit dan gunung ditarah
paya dan tasik di tambun
bumi sudah jadi bagai dataran
sama dan rata
dimana gunung dan bukit menahan angin?
dimana paya dan tasik menampong air?
tentu bumi kita semakin marah  
dalam usia tuanya
ia akan lebih banyak muntahkan lahar
gunung terbakar
bahkan menggocak laut jadi tsunami
akan lebih banyak mencetuskan gegar
dan gempa bumi
akan lebih banyak air membiarkan banjir
tenggelamkan kekejaman
akan lebih banyak keringnya daratan
oleh kemarau panjang
akan lebih banyak mencarik merobek
lapisan ozon oleh asap dan pembakaran
bumi kita semakin parah  
bumi kita semakin marah  
bumi kita semakin merah  
kerana kita tidak pernah berterima kasih
dan menyayangi
kerana menyangka itu adalah hak
bukan pemberian dan tanggungjawab
kita menjadi makhluk yang rakus
dan memusnahkan
atas nama pembangunan

tiba-tiba aku terasa
kopiku semakin pahit
ooooh! 'harga gula sudah naik'.......
teringatkan rumpun  tebu di halaman
teringat tanaman di kebun yang tenggelam
bantuan kerajaan apakah akan sampai atau mungkin hilang
mungkin ada yang menyembunyikan
nanti, 
aku akan adukan kepada pak menteri........
kami orang kampong juga punya 1 undi

jrt/

4 comments:

ujang kutik said...

Tuan,

Saya baru balik dari Segamat - juga sinonim dengan banjir.Premis-premis perniagaan di bandar ini mula dibenteng dengan guni-guni pasir.

Ketika meninggalkan bandar ini hujan masih turun dan air sungai telah mula naik.Masih belum peringkat bahaya.

Di dalam suasana begini tentu ada hamba Allah yang berhati mulia. Pun demikian, ada juga yang mengambil kesempatan di atas kesusahan orang lain.

Azam Abd Rahman said...

Salam tuan,

demikianlah kehidupan manusia dan kemanusiannya. kita lahir berbeza2 dan berbagai, justeru kita harus mencari persamaan didalam setiap perbezaan yang ada untuk hidup dalam harmoni ~ Azam

bulan said...

susahlah
ingin juga menulis seperti tuan
bercerita gaya menarik tumpuan
kenyataan kalah dalam ketentuan
hasilnya jadilah aku pembaca laluan

biasalah
seminggu dua menyelari lagi
tanpa sumbangan dapat dibagi
sedih berganti marah berucap kali
kerana anak-anak juga tidak perduli
walhal sana dan sini ditimpa bencana
di barat mahupun di timur gundah gulana

bertanyalah
di zaman kemajuan
yang diluar dari dugaan
teknologi ada kesan sampingan
menjadi halangan dan rintangan
terjawap olehku
usaha cara barat harus ditiru
mengambil contoh janganlah keliru

perlukah? bersukur bila ada yang susah
perlukah? berilmu bila ada yang tamak
perlukah? berkuasa bila ada penghianat

Azam Abd Rahman said...

bulan,
apa yg hendak dikesalkan?
gundah gulana tanpa ketentuan
bahkan bahawa engkau juga ternyata
memberi sinar dan cahaya
cuma dalam hati rendah diri
menyangka terkurang sedangkan memadai
jika engkau berwajah
aku pun ingin melihatmu
memuja indahnya ciptaan
menjadi perindu dari kejauhan
kerana disini pun aku masih
merasa sentiasa kekurangan
manakala kamu yang lebih....