Saturday, September 5, 2009
ketika pulang
pulang ke kampong halaman
menghayati semula kehidupan masa silam
semuanya telah berbeza
tidak lagi seperti dulu;
air sungai tidak lagi jernih
seperti mana diwaktu kecilku
riang mencari ikan bersama kawan-kawan
memancing, menjala, menjaring, memedap,
menaut, merawai dan menghanyut apong
sekali sekala menuba di anak sungai
mencari seekor dua ikan sia, bujuk atau bagoh
sekadar buat bau sambal
memadailah dengan prinsip hidup hari ini untuk hari ini
hari esok - dunia masih luas dan rezeki pasti ada
begitu janji alam kepada kita.
hari ini
melihat semuanya dalam pandangan yang berbeza
sungai yang keruh sepanjang musim
ikan-ikan juga semakin pupus
hutan dipinggir kampong dulunya hijau
sudah kering-kontang dan gersang,
tatkala bersua kawan-kawan lama
segalanya membuat aku jadi sedar diri
bahawa wajah sudah ditelah usia
melihat kedalam cermin garis-garis semakin kasar
melakari kedut didahi
selain warna rambut yang berubah ada putih dalam hitam
apa khabar semua sahabat
wan muhammad, halim karim, hashim abu kassim,
mana mat tom? mana halim bakar? mana satar?
rasanya kehidupan ini terlalu singkat
dan kita tidak langsung berpeluang
mengingatinya dan mengulangnya semula
melainkan sesekali didalam mimpi.
ketika aku pulang
ingin aku membawamu sekali kekasih
melihat masa laluku
untuk belajar berkongsi masa kini dan masa depan kita
secara adil dan saksama
hanya kepadamu kekasih:
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment