Friday, April 30, 2010

bukan aku





ini bukan merah
bukan luka
bukan darah
bukan parah

aku bukan marah
bukan dendam
bukan geram
bukan kejam

engkau bukan faham
bukan faham
bukan faham
bukan faham;

cemburu itu sayang
sayang itu rasa
rasa itu seksa
seksa itu derita
derita itu luka
luka itu duka
duka itu geram
geram itu kejam
kejam itu parah
parah itu marah
marah itu merah
merah itu darah

itu bukan aku
yang memulakan dulu.


Thursday, April 29, 2010

frodo baggins


Untuk adikku si-froddo, yg pandai menunjuk sayangnya dn setianya menanti. 2 ini aku berikan untukmu. 1 - kesedihan, 2 - kegembiraan

Ambil kesedihan ini dulu untuk jika aku tidak lagi kembali;


Dan terima pula kegembiraan ini, bila aku telah kembali;



Tapi jangan khuatir kerana walau bagaimana caranya pun, pasti aku akan kembali, terimalah ini;


jangan ada sesiapa menangis:

jangan kau bimbang
jika tiba-tiba aku hilang
kerana aku akan kembali
mengutip daun-daun kering
yang berselerak ditiup angin musim
hidup aku disini
dan mati aku juga disini
kerana itu aku akan tatap kembali

jangan kau bimbang
jika tiba-tiba aku hilang
kemudian tidak akan kembali lagi
pasti ada yang mengutip tulang-tulang kering
yang berselerakan disitu
aku tidak mampu kembali lagi
namun hidupku disini
dan matiku pun disini
bawalah aku kembali

jangan kau bimbang
jika tiba-tiba aku hilang
jangan ada sesiapa menangisi
jika tiba-tiba aku pergi
dan tak kembali lagi

Wednesday, April 28, 2010

maaf

salam semua. terima kasih atas perhatian. kemalangan itu tidak mencederakan fizikal namun hentakkan kuat terasa dikepala dan dada. ianya lebih kepada trauma dan rawatan dalaman. sekali sekala terasa denyutan. berubat cara tradisional. perlu rehat. maaf kepada sesiapa yg hubungi telefon dan sms, mmg saya malas nak layan dalam keadaan ini.harap akan pulih segera. rasa nk menulis puisi tp tk tau bagaimana nak memula. rasa dh lama tak memaniskan mulut.

maaf,

azam - nama insan kecil yg akan mudah dilupakan....

Saturday, April 24, 2010

surat salam


salam kepada semua,
sesuatu berlaku dalam kehidupan
dan kita tidak mampu mengelak
itu mengubah sebahagian kehidupan
sedikit demi sedikit
andai aku tidak akan seperti dulu
gagal menyusun kata
tidak lagi manis bicara
jangan salahkan aku
hukum itu dari 'Dia'
kamu juga harus pandai tempuhi
kehidupan ini bersendiri
ketika aku hanya mampu
menghela nafas lesuku

sambutlah salam mulaku
dan terima juga salam akhirku
bila nanti ada nokhtah
disitu kata bicara akan berhenti
namun airmataku pasti akan gugur
............................................






mengimbau kenangan


Salam kepada semua pembaca yang sering mengunjungi blog ini. Tiada apa yang baru buah tangan untuk kamu semua, selain dari ucapan terima kasih atas perhatian yang kamu semua berikan selama ini.

Terima kasihlah Adik-adikku; SM, Froddo, SKST, Zeza @ Saba, Lara-Nur, Intan RH dan semuanya. Hari ini tiada puisi baru untuk kamu semua. Yang ada hanya detik jantungku yang memberitahu sesuatu.

Elok sekali sekala kita imbau kenangan lalu. Bila tiada puisi baru kita ambil yang lama dan baca semula. Ini puisi pendek namun besar dan dalam maknanya. hayatilah dan selamilah.

Hari ini tidak ada gambar, tidak ada juga lagu, yang ada hanya hati dan sayang aku untuk kamu semua. Sayangi semasa hayat masih ada kerana selepas ini nanti tiada lagi tali perhubungan kita.


SIPUT

i)
ketika ombak
menghempas pasir pantai
aku terdampar
di batu karang

ii)
yang berani laut
yang tabah ombak
yang waspada pantai
yang was-was adalah aku


Thursday, April 22, 2010

seorang lelaki dan sebuah puisi





saat membayangkan menemui seorang lelaki dengan ditangannya ada sebuah puisi. bibirnya sentiasa bergerak, bergerak-gerak menghafalkan bait-bait puisinya itu. kepada siapa akan diucapkannya dan dimanakah akan dilontarkan puisinya itu? dalam kesibukkan kota semua orang kelihatan sibuk dan menyibukkan dirinya. kenderaan besar membawa tuan-tuan besar, kadang-kadang ditemani puan besar, namun jika penemannya itu bukan besar maka siapakah dia? mungkin setiausahanya, atau apakah aku harus peduli? dilorong-lorong kota juga sibuk seakan sentiasa ada yang mengejar dan yang dikejar. mungkin mereka memburu waktu kerana waktu juga memburu mereka. saat lelaki itu berdiri ditengah-tengah ramai dan menjerit-jerit membacakan puisinya, apakah ada sesiapa peduli? saat itu lelaki itu mengenang kembali suatu waktu dulu dia diundang dihotel-hotel besar untuk membacakan puisinya. pembesar-pembesar pun bertepuk tangan selesai dia membacakan puisinya itu,isteri pembesar-pembesar yang juga besar-besar turut juga bertepuk tangan. tuan-tuan besar dan isteri-isteri tuan-tuan besar yang juga besar turut bertepuk tangan. tetapi bukan disini. disini tidak ada penghargaan bagi sebuah puisi. ditengah-tengah kesibukan itu dan ditengah-tengah ramai itu lalu seekor anjing yang mengonggong sebuku roti. lelaki itu memandang anjing tu dan rotinya dan mulutnya bergerak-gerak tidak lagi menghafal bait-bait puisi tetapi berkata-kata didalam hati; 'rupanya anjing itu lebih beruntung dari seorang pemuisi'. saat itu aku membayangkan akan menemui seorang lelaki dengan ditangannya ada sebuah puisi, namun aku tidak menemuinya. saat itu orang-orang banyak melihat seorang lelaki berdiri dengan ditangannya sebuah puisi dan seekor anjing yang mengonggong sebuku roti. seorang lelaki tua yang ditangannya ada sebuah puisi itu adalah aku...dan sebuah puisi itu adalah cintaku yang tak jadi.

memberi makna sajak mencari makna



aku pun mencari-cari makna kehidupan ini


1. Ada yang memohon untuk 'copy n paste' - saya berikan keizinan dengan mudah kerana itu bukan perkara susah.

2. Ada yang memohon saya memberi makna kepada sajak mencari makna yang saya tulis itu - ini sedikit susah kerana; i) sifat sajak itu sendiri terlalu merahsiakan maknanya dan mengajak pembaca sendiri berfikir serta mencari maknanya, bukan penulisnya. ii) apabila sajak sudah ditulis, ianya bukan lagi milik penciptanya, bahkan penciptanya juga telah kehilangan maknanya kerana ketika itu penciptanya sudah menjadi pembaca, seperti orang-orang lain juga - bagaimanapun marilah sama-sama kita mencuba mencari maknanya:

adikku
: Kepadanyalah sajak ini ditulis dan tujukan. Mungkin seorang perempuan bahkan mungkin juga seorang lelaki, tetapi yang nyatanya dia pasti lebih muda dari penulis sajak ini, dan sajak ini adalah sajak berunsur nasihat.

awal kata
saat mengenal dan memahami makna
membenarkan kata;
cemburu itu cinta
lebih lembut lidah menyusun kata
ketika kucing pandai menyembunyikan kuku
harimau juga pandai menyisir bulu
:memberi makna pada peringkat permulaan dan awal percintaan, ketika saling mengenali satu sama lain dan cuba memahami dan mencari persamaan, kadang kala ada timbul rasa cemburu dalam hati, dan benarlah seperti kata orang tua-tua bahawa cemburu itu tanda cinta. Pada ketika ini tutur kata akan selalunya manis dan pasangan akan pandai mengambil hati antara satu sama lain. Pada ketika ini mereka ibaratkan kucing yang pandai menyimpan kuku bahkan ibarat harimau yang juga pandai menyimpan rahsia diri dan peribadinya.

tengah kata
cemburu itu dua makna
sayang dia bencipun juga
ini saat waspada
tatkala kucing tiada tikus menjadi raja
: apabila hubungan cinta sudah sampai pada peringkat pertengahan, masing-masing sudah tidak mampu menyimpan rahsia diri lagi. Sedikit demi sedikit sudah diketahui oleh pasangannya.Rahsia bukan rahsia lagi. Saat ini keperibadian masing-masing terserlah dan jelas. Pada ketika ini jika ada rasa cemburupun ianya akan membawa dua makna yang berbeza iaitu memang kerana sayang dan kerana sudah benci atau atas sifat ingin menguasai pasangan mereka. Pada tahap ini pasangan masti lebih berwaspada kerana jika perhatian kurang diberikan atau kurang di awasi maka pasangan akan bertindak sesuka hatinya atas nama kebebasan.

akhir kata
katamu kau tau maknanya
tetapi dengar sini
dan berikan erti;
semalam disini ada secangkir susu
namun ketika aku bangun pagi ini
susu membeku menjadi keju
dan seejor tikus mati terperangkat didalam keju itu...
:Pada tahap hujung hubungan dan juga pada pesanan terakhir penulis, dia mengingatkan kepada seseorang itu yang selama ini merasakan bahawa dia sedar dan tahu apa yang berlaku dan dia lakukan. Penulis memberikan nasihat terakhirnya dalam bentuk kiasan untuk 'si adiknya' mencari maknanya dengan mengkhiaskan tentang secangkir susu yang menjadi keju serta bagaimanakah seekor tikus itu mati kaku didalam kepingan keju itu?

Bahagian ini agak sukar untuk ditafsir kerana agak mengelirukan kerana ianya hadir dengan bentuk kiasan dan falsafah juga. Bagaimanapun huraiannya mungkin boleh ditasfirkan begini; seekor tikus itu ingin meminum susu didalam cangkir berkenaan namun akhirnya dia terjatuh dan tatkala dia berenang ingin menyelamatkan dirinya dengan tidak disengajakan dia telah melakukan proses penghasilan keju dengan 'mengacau' susu tersebut. Akhirnya apabila sampai ketikanya, keju terhasil dengan pertolongan si tikus itu walau tanpa niat dan hasratnya bagaimanapun si tikus itu akhirnya mati kelemasan didalam susu berkenaan yang berubah menjadi keju kemudiannya. Kerana itulah keesokkan harinya penulis hanya melihat si tikus mati dalam kepingan keju.Ini adalah makna langsung dari kiasan itu, makna sampingannya haruslah ditafsirkan sendiri.

Sekian terima kasih. Are you okay? (hehe macam bahasa orang tu lah pulak, teringat karipap teringat juga mokhtar)


Wednesday, April 21, 2010

mencari makna?





adikku

awal kata
saat mengenal dan memahami makna
membenarkan kata;
cemburu itu cinta
lebih lembut lidah menyusun kata
ketika kucing pandai menyembunyikan kuku
harimau juga pandai menyisir bulu

tengah kata
cemburu itu dua makna
sayang dia bencipun juga
ini saat waspada
tatkala kucing tiada tikus menjadi raja

akhir kata
katamu kau tau maknanya
tetapi dengar sini
dan berikan erti;
semalam disini ada secangkir susu
namun ketika aku bangun pagi ini
susu membeku menjadi keju
dan seekor tikus mati terperangkap didalam keju itu.....

Monday, April 19, 2010

memang aku sengaja

sengaja
aku tidak membalas
surat yang kau kirim
supaya lebih mudah
kita saling melupakan

sengaja
aku tidak menyahut
setiap panggilanmu
supaya lebih mudah
kita saling membenci

sengaja
aku bangkitkan
segala kenangan
supaya lebih sakit
hati dan perasaan

sengaja
aku membuat
engkau membenci
supaya kelak namaku
tidak engkau sebut lagi

Sunday, April 18, 2010

mentera anak melayu





7 cubit debupasir dari 7 daerah
7 malam Jumaat diperasapkan
jadilah sekepal tanah
itulah tanahku

7 titis embun dari 7 helai daun
7 hari Jumaat dipertapakan
jadilah serauk air
itulah airku

7 keturunan pahlawan gagah berjuang
7 jenis besi khursani ditempa
7 lok keris dijadikan pusaka
'Tak akan Melayu hilang didunia!'

Friday, April 16, 2010

jangan ada sesiapa menangis




jangan kau bimbang
jika tiba-tiba aku hilang
kerana aku akan kembali
mengutip daun-daun kering
yang berselerak ditiup angin musim
hidup aku disini
dan mati aku juga disini
kerana itu aku akan tatap kembali

jangan kau bimbang
jika tiba-tiba aku hilang
kemudian tidak akan kembali lagi
pasti ada yang mengutip tulang-tulang kering
yang berselerakan disitu
aku tidak mampu kembali lagi
namun hidupku disini
dan matiku pun disini
bawalah aku kembali

jangan kau bimbang
jika tiba-tiba aku hilang
jangan ada sesiapa menangisi
jika tiba-tiba aku pergi
dan tak kembali lagi

Tuesday, April 13, 2010

aku dan anjing





pandang belakang
lihat bagaimana ianya bermula
melangkah kebelakang
hapus setiap lembar kenangan
jika bayangku masih disitu
bunuhlah aku,

aku melihat sekujur tubuh
berlumuran darah yang memercik dari jantungnya,
ini lorong yang bakal kau lalui
nanti kau akan melihat
2 tubuh yang mati bergelimpangan...

esok pagi
orang-orang akan melihat 2 kematian
bersebelahan
bila bernama kematian
apakah beza antara aku dan anjing itu?



Monday, April 12, 2010

Hari ketika engkau pergi










Hari ketika engkau pergi

Meninggalkan aku

Senjaku menjadi sunyi

Cengkerik pun sudah enggan menyanyi

Bagaikan menghukum aku

Hari ketika engkau pergi

Meninggalkan aku

Malamku menjadi sepi

Bulan bintang pun bersembunyi

Bagaikan membenci aku

Hari ketika engkau pergi

Meninggalkan aku

Siangku menjadi apa?

Mentari pecahkan cahayanya

Memanah jantung hatiku

Membunuh buah cintaku

Hari ketika engakau pergi

aku menggali kuburku sendiri


Saturday, April 10, 2010

ingin pulang





aku telah jauh....
dan merasa ingin pulang
memang aku melihat jalan pulang
dibawah awan dan dibawahnya lautan
aku juga melihat tanah airku
tanahku dan airku
ini bumi yang kupijak
bumi yang dimana langitnya kujunjung
dimana jasadku akan bersemadi
menyuburkan bumiku
tanah airku


Thursday, April 8, 2010

kenangan


wajah seorang aku, simpan untuk kenangan, simpan untuk ingatan
kerana bila aku sudah tidak kembali lagi, apa lagi yang akan aku tinggalkan?



mok
tetiba aku rase nok balik
tetiba aku rase jauh benor dari mok
aku rase aku teloh mensesiakan mok
aku pegi mencari entoh mende-mende
dan aku dapatpun entoh ape-ape
hanya satu yang aku temu dan sungguh bererti
adalah erti hidup ini
bahawa kehidupan adalah kesorangan
mok
memang akhirnya yang akan tinggal hanyalah kita sorang
begitulah masa mok melahirke aku - aku sorang
masa aku mati esok-esokpun - aku sorang juga
mok
kawan-kawan aku dulu entoh kemana hala
kalau dulu sesama menyetik burung de-tepi utan
tak pun sesama mengail ikan de-sungai
basoh baju sampai ke-lengan
basoh seluo sampai ke-pinggang
masa ni entoh de-mana deme nya?
apa gon doh tak ingat ke aku doh?
jangan kita kerayan sangat pada kehidupan
macam menyorok asam rong setempayan
sebab kalau dapat anak-anak ikan bada atau sia buta
kita menggulai nak berasamke apa?
mok
aku teringat pade masokkan mok
sambal asam rong bakor
gulai botok ikan sebarau -
ikan yang elok kita pebusukke
walaupun busuk tetap sedap de makan
mok
aku teringat juga mase kecik
makanan pagi rebus ubi
cicah misan tebu atau nyor parut
mungkin juga sambal asal belimbing itam
pagi ari nak ke sekoloh mandi de sungai
bekelubung macam antu pocongpun kerayan lama
naik ke rumoh mencebet sekoi berisi air
air paip dan api letrik kome tak pernoh mimpi
pegi sekoloh bawak beg jabir
buku dua tige helai dan pensel kontot
pernoh juga ingat kelek papan batu
mase ni bebudok dah kelek 'laptop'
ke sekoloh mereka dah tak kenal lumpor
duri reman pun tak pernoh menyucuk tapok kaki
....


(akan disambung lagi nanti - sajak dalam bahasa Pahang loghat Kuala Tahan daerah Jerantut)

Wednesday, April 7, 2010

engkaukah itu kekasihku?






malam itu teramat gelap
kelam dan hitam
Tuhan tidak gantungkan bulan
di langit pun tidak ada bintang
bagaimana harus kuaturkan langkah kaki
angin kejam menggoncang gelombang lautan
malapetaka apakah yang sedang melanda?
ada aku dengar suara sayup-sayup
dan sejalur cahaya
engkaukah itu kekasihku?
ingin aku menjerit teriakkan namamu
namun suaraku terperangkap
didalam dadaku sendiri
menggeletar bibirku kerana pilu
aku sebut namamu berkali-kali
Zauriti!
anginpun diam
terhenti dan mati.


Tuesday, April 6, 2010

aku melihat engkau semakin jauh, semakin jauh, semakin jauhhhhhhhhhhh

Ini tugu yang kubina sendiri




aku melihat engkau semakin jauh
semakin jauh .......
begitu Tuhan menentukan kehidupan;
kehidupan kita bukanlah milik kita
tidak kini dan tidak juga sebelumnya,
dan aku
hanya sehelai daun kering
yang dipetik angin musim dan mencampaknya
membuang jauh dari pandangan
membuang juga dari ingatan

ikhlaskanlah pertemuan
serta perpisahan ini;
kehidupan kita bukanlah milik kita
tidak kini dan tidak sebelumnya,
tidak ada kata yang patut diucapkan
bahkan airmata tidak harus menitis,
ditanganku masih kugenggam
segala ucap katamu
dan akan kulemparkan kelak
jauh-jauh,
jejakku biar hilang dan tak berkesan
bayangku pun akan kupadamkan

jika susah untuk melupakan
ini kubina satu tugu
untuk memadam segala ingatan
untuk mudah melupakan
kau lihatlah tugu ini
dan kemudian pergi
simpan kuat ingatan dihatimu
bahawa didalam tugu itu
sekujur tubuh yang kaku




Monday, April 5, 2010

SEBUAH SAMPAN USANG DAN SEBUAH PELABUHAN USANG ITU ADALAH AKU YANG TELAH KAU TINGGALKAN DULU



1.
yang kandas dalam pelayaran
dan terdampar didaratan
adalah
sebuah sampan usang
sekian lama tidak dipedulikan
sampan usang itu adalah aku
yang kau tinggalkan dulu
masih disini
dicengkam sepi




2.
yang condong dan roboh dipinggir muara
dan tidak lagi dipedulikan
adalah
sebuah pelabuhan usang
sekian lama telah dilupakan
pelabuhan usang itu adalah aku
yang tidak kau pedulikan lagi
masih disini
sepi dan mati


Sunday, April 4, 2010

lafazkan!

memang genggaman tangan memberi makna
tetapi cinta juga harus diucapkan dengan jelas dan pasti



lafazkan!
lafazkanlah cinta itu
dengan tenang dan pasti
dengan teguh dan beranikan hati
jangan biarkan terlalu lama untuk melafazkannya
dan jangan menunggu terlalu lama untuk membiarkan dia melafazkannya
melafazkan cinta juga perlu berani
sebagaimana melafazkan dan berakad
dalam ijab dan kabul
cinta itu membulatkan tekad
menyatukan niat
ianya harus jelas didengar
bukan hanya setakat tafsiran
dari hati dan fikiran
jika benar rasa dalam hatimu
dan jika dia lambat menyatakan itu
tidak berani hati atau ragu-ragu
maka kamulah yang harus menyatakan
biar jadi padang segala jalan
biar jadi terang segala kegelapan

lafazkan!
lafazkanlah cinta itu
cinta itu bukan ragu-ragu
cinta itu membuang segala malu
jika tidak berani bercinta dan menyatakan cinta
jangan lagi lahir kedunia
berdiam dirilah didalam rahim ibu
sehingga hati menjadi berani
mencintai dan dicintai
lafazkanlah!
supaya tafsiran tidak menjadi salah
cinta juga harus dilafazkan
bukan hanya diam dalam perasaan
berdiamlah!
dan dengar dia melafazkan cintanya
atau kamu melafazkannya dahulu
jika dia terlalu lama mengambil waktu
kerana cinta itu
bukan hanya percaya semata-mata!

Friday, April 2, 2010

Nota Ringkas: Kembara Alam

Saya tak sebut pun 'Mokhtar', jadi tak ada kena mengena dengar liwat,
yang ni adalah melihat kerosakan yang berlaku pada kenderaan yang menyebabkan kelewatan perjalanan



Terlalu banyak yang nak di catat namun tak semuanya masih sempat aku ingat, kerana sebahagian lagi telah hilang dalam perjalanan.

Pukul 5 pagi sewaktu tren dari Singapura tiba, aku sudah menanti di Stesen Keretapi Gua Musang menyambut ketibaan Peter Andrea sekeluarga. Mereka berasal dari Germany. Menghubungi saya beberapa bulan lalu melalui email.

Setelah berkenalan, saya terus membawa mereka dengan van, meredah keheningan pagi menuju entah kemana....45KM ke Simnpang Felda Ciku jalan Gua Musang - Kuala Krai. Dari situ lagi 45KM perjalanan melalui gugusan Felda Aring menuju Taman Negara Kuala Koh. Salah satu diantara 4 pintu masuk ke Taman Negara yang luasnya 4343KM persegi.

Kami sampai kira-kira jam 7 pagi. Pintu masuk masih belum dibuka lagi, biasanya jam 7.30 pagi baru dibuka, ini bagi mengawal dari para penceroboh. Menunggu disitu selama setengah jam? Tidak! Kerana jika dengan Azam, semuanya akan mungkin.

Saya masuki kawasan perumahan dan mencari pegawai yang bertugas untuk mendapatkan kunci 'gate' dan membukanya bagi membolehkan van saya masuk dan terus ke petak parkir kereta.

Semuanya keluar dari kenderaan dan membetulkan urat saraf masing-masing. Bersihkan diri dan sementara itu restoran sudah pun dibuka. Kami bersarapan dan bersedia untuk melakukan aktiviti di Taman Negara ini nanti.

Kerana masa kami yang terhad, tak banyak yang akan kami lakukan disini. Kami hanya menaiki titian gantung 'canopy walkway' dan 'jungle trekking' di rentis ara selama 2 jam. Selepas makan tengahari kai berangkat untuk ke tasik kenyir dan akan berhenti di santuari gajah di Sungai Ketiar.

Hanya selepas kira-kira 1KM perjalanan, kami mengesan sesuatu yang tidak kena dengan van kami. Perjalanan tidak dapat diteruskan dan saya terpaksa mendapatkan alternatif lain. Dengan bantuan Nora dan staff di Kuala Koh, kami berjaya teruskan perjalanan sepertimana yang dirancang.

Hari-hari berikunya kami habiskan dengan menjelajah sekitar tasik kenyir ini. Kami redahi hutan dan jelajahi sungai-sungai dan tasik. Kami juga terokai air-air terjun yang segar dan nyaman airnya.

Teringat juga Kuala Koh dan menaiki sampan menyusuri sungainya........



Sabar menunggu dan menghadapi segala kesukaran
adalah kunci segala keseronokan perjalanan


Apabila tiba di Kelah Rakit Resort, keseronokan bermula
dan masa untuk bersantai


Terima kasih kepada Nora dan Mat yang terpaksa menghantar kami
kerana kerosakan van yang tak sempat dibaiki,
kita makan malam bersama dulu sebelum balik ke Kuala Koh


Aku dan Peter Andreae sekeluarga di Air Terjun Lata Tembat, Kenyir


2 Kudup cendawan yang sedang mengembang, nak berikan tafsiran? Huhu!


Kita jelajahi seluruh pelusuk Tasik Kenyir ini


Tasik yang membiru, foto sebelum di edit menjadi foto 'senja terluka'


Jelajahi tasik menaiki bot, indahnya negara ku yang tercinta ini.




senja terluka

tasik kenyir: senja terluka


sengaja aku baringkan diriku, kerana apa kau tau?



bukit menjadi pulau
gunung menjadi bukit
padang menjadi laut
sungai menjadi tasik;

merah sinar matahari
diwajah langit yang sakit
cahaya itu pecah dan berkecai
pada gelombang
pada tasik yang tidak lagi tenang
bergetar didalam dadaku ini
kau lihatlah!
jika bukan kerana kamu
jantung dah hati ini pun
akan aku buangkan
kerana cinta sudah tidak memberi makna

kau duduklah diam-diam
dan tenang
kerana aku sedang berjuang
memadam segala ingatan




sungai yang mengalir dari air terjun tembat