Friday, December 19, 2014

jangan lupa daratan

Pandangan dari kaca jendela pesawat C130 dalam perjalanan 
PU Subang ke PU Labuan ke PU Kota Kinabalu



jangan lupa daratan
(memanjang ingatan isteri)

sejauh mana terbang
melintas awan serta gunung-ganang
jangan lupa daratan
sejauh mana belayar
meredah ombak serta gelombang
jangan lupa daratan
di udara
walau merentas benua dan samudera
kita tetap mencari daratan
mengakhiri perjalanan
jangan lupa daratan

di lautan
walau meredah ombak dan gelombang 
kita tetap mencari daratan
menamatkan pelayaran
jangan lupa daratan

jangan lupa daratan, dan
... jangan
            ... lupa
                   .... daratan.

18.12.2014,
Subang - KK


Tuesday, December 9, 2014

aku melihat aku




aku melihat kamu
dari mataku
itu ini begitu begini

engkau melihat aku
dari matamu
ini itu begini begitu

aku melihat aku
dari mataku
itu ini begitu begini
ini itu begini begitu



Friday, October 24, 2014

bersama bayang-bayang





....
ketika 
mentari dikedudukan yang betul
cahayapun memantul ...
merakamkan jasad
seketika 
lengkap dan sekata...
sebahagiannya realitI, selebihnya 
bayang-bayang....
dalam pandangan - sama
keduanya menjadi satu
akrab kalbu rindu
dimana lagi setelah ini
dapat aku menatapmu?
setulus hati......
dalam diam
dalam tenang 
airpun tak akan beriak
langit dan awan jatuh
di muka air yang tenang itu
terbias 
menjadi sebuah lukisan alam ....
fatamorgana


Kuantan
20.10.2014

Thursday, October 2, 2014

politik ikan





kebelakangan ramai kawan-kawan dari luar 
yang tak 'ada 'insuran mulut' bertanya; 
1) Politik Jerantut ... 2) Ternakan Sturgeon...

aku tak mampu menjawab apa-apa
tetapi ada kawan yang lain berkata 
politik 'kita' adalah politik ikan sturgeon
ternakan ikan dipolitikkan... 
yang melawat Korea sokong ...
yang bantah tak lawat Korea... 
yang sokong projek sokong 'dewan' 
yang sokong 'parlimen' bantah ... 

ianya antara kumpulan yang melawat Korea dan 
yang tak melawat... 
antara yang menyokong 'dewan' dan 
yang menyokong 'parlimen'... 
bagaimana pula dengan kumpulan ke-3?
mereka berdiri dimana dan akan mengikut siapa? 

aku nampak laut yang bergelora.... 
aku nampak kapal-kapal  (Jong) yang terumbang-ambing.
aku nampak Yu berkeliaran 
aku teringat kata-kata;... 
"Jong pecah, Yu kenyang"... 
aku nampak 2016 yang kusut dan kelam kabut.... 
aku nampak satu bendera ... putih dan merah dan kuning separuh tiang... 
aku tak nampak kamu
dan aku tak juga nampak aku...



Monday, September 22, 2014

demikianlah kehidupan



telah aku katakan;
demikianlah kehidupan
menentukan arahnya
namun, bagaikan camar-camar itu
pasti sesekala hinggap
di tiang-tiang layar
sebelum kembali semula
menerpa angkasa
merentas gelombang
mencapai harapan dan
meninggalkan kenangan...
itupun, jika tiada yang melupakan...
demikianlah kehidupan


17 September 2014


Thursday, August 28, 2014

Maia Mengejar Merpati





Maia baru mengenal kehidupan;
sesuatu dan segalanya baru baginya -
suatu petang ketika berjalan-jalan
menghirup segar udara musim panas Bergen
melewati taman dan tasik ditengah kota
sekumpulan merpati terbang menghampiri
lalu dikejar Maia
terbang dan hinggap kembali
Maia belum mengerti
bahawa demikianlah halnya
sebagaimana burung-burung camar
terbang ditengah lautan menerpa angin
namun pasti suatu waktu
kembali hinggap ditiang-tiang layar
sebelum terbang semula
membelah angkasa ..


Friday, May 9, 2014

aku bersalah...




aku bersalah
menerbangkan layang-layang
tinggi-tinggi
dan melepaskan
tak berteraju tak bertali
lalu ia jatuh 'ke tanah'
jauh-jauh
dan hilang arah
demikianlah
putik-putik kasih
yang bersemi dihatimu
dan
aku bersalah
kerana membiarkannya
tidak berbelai
aku bersalah
kerana tidak menyayangi
tatkala selasihmu
berkembang
ketika malammu kedinginan
disaat engkau memerlukan
embun basah gelisah mendesah
jiwamu
aku bersalah
kerana ketika kembali menuntut
ianya sudah bukan lagi
hakku dan bukan juga milikmu
yang tinggal hanya puing
malam-malam bening

Friday, April 4, 2014

aku ingin




aku ingin
mendaki ke puncak gunung
meredah kabus
bermain dengan awan

aku ingin
berenang di lautan
meredah angin
bermain gelombang

aku ingin
berjalan bersamamu
meredah kedinginan
bermain dengan salju

aku ingin
sentiasa disampingmu
mengharung kehidupan
mencapai impian