Wednesday, September 11, 2013

luka





akhirnya angin musim kemarau
yang meluruhkan daun-daun kering
dan menyelerakkannya diatas rumput yang tidak lagi hijau
juga datang membawa khabar
bahawa engkau
tidak lagi gembira di sana
pagimu adalah embun yang basah
pada hari yang gersang
menyulur
dari malam hati luka dan airmata
aku yang kau campakkan dulu
hanya mampu menyembunyikan resah
didalam dada
.............................?

Saturday, August 10, 2013

bayangan impian



setelah itu........
engkau hilang dari pandangan
diselimuti kabus pagi
atau ditelan suram senja
suaramupun tidak lagi kedengaran
anginkah yang ingkar membawa khabar?
atau akukah yang sudah tiada upaya
menangkap isyarat dan mentafsir makna
pesanmu lewat angin
ingin aku berteriak
memanggil namamu
atau berbisik ke telinga
sambil mencium harum rambutmu
yang perlahan mengusap wajah
tatkala ditiup angin
namun engkau sudah tidak lagi menoleh
lalu berlalu meninggalkan
aku bersama kenangan;
bahawa suatu ketika engkau hadir
dan kita mengenggam janji
membina kota kata-kata
namun akhirnya runtuh
ditelan waktu yang berlalu
meninggalkan
impian dan bayangan
...................................?



Friday, February 15, 2013

ladang kehidupan





aku menyemai biji-biji benih
dari setongkol jangung yang sama
maka sebahagian darinya tumbuh subur
manakala sebahagian lainnya tidak bercambah
dari sebahagian yang tumbuh itu
hidup dan membesar subur
manakala sebahagian lainnya pula
mati layu dan kekeringan
lalu dari sebahagian pohon yang tumbuh subur itu
mengeluarkan bunga-bunga kemudian buah-buah
dan dari sepohon yang berbuah itu
menghasilkan tongkol-tongkol jagung 
sebahagiannya elok-elok dan baik-baik
manakala sebahagian yang lain busuk
dan memburuk
lalu dari sebahagian tongkol yang baik-baik itu
hanya sebahagian darinya yang bakal menjadi biji benih
yang baik dan bakal menjadi pohon yang subur
dan menghasilkan buah-buah yang baik-baik pula
demikianlah perumpamaan
kepada kehidupan ini
jika kita melihatnya dan mengerti.


Thursday, January 24, 2013

untuk palestin




kita menonton di tv
dan membaca di akhbar-akhbar
kekejaman zionis rejim tel-aviv
keatas rakyat palestin
di semenanjung gaza, di tebing barat
di khemah-khemah pelarian
di bumi Tuhan
palestin diusir palestin diseksa
palestin dibunuh
banjir bumi palestin oleh darah palestin
rakyat palestin kehilangan segalanya
kecuali semangat dan keyakinan........
baitul-muquaddis menjadi bukti
manakala sungai Jordan menjadi saksi
ya Allah bantulah palestin
sebelum palestin hilang kepercayaan
sebelum palestin berpaling ke arah lain
ya Allah dugaan ini terlalu berat
untuk palestin sedangkan kami
tidak mampu membantu
ya Allah kami hanya berharap
akan turun bala keatas zionis
seperti sepasukan burung
mengugurkan batu-batu dari langit
seperti mana mereka memusnahkan
bala tentera bergajah
ya Allah doa kami untuk palestin
agar teguh menempuh hidup yang payah
hidup palestin
biar hapus  zionis oleh palestin
biar tegak palestin di bumi palestin

3 feb 1988



sajak ini saya tulis lama dahulu, pada tahun 1988 namun saya simpan dan tidak pernah disiarkan dimana-mana tidak juga pernah dibacakan dimana-mana namun pada hari ini bersempena Maulidul Rasul dan lawatan DS Najib ke Gaza, saya siarkannya disini untuk dikongsikan bersama..........