Friday, September 10, 2010

SELAMAT HARI RAYA AIDIL-FITRI



Selamat Hari Raya Aidil-Fitri kepada semua terutama follower dan dan para sahabat pembaca setia yang mengunjungi blog ini. Sepuluh jari kususun serta maaf adan ampun kupohon atas segala kekhilafanku selama ini.

Kepada semua mereka yang kusayangi dan menyayangi, segalanya kusimpan dalam ingatan, selama-lamanya.

Wednesday, September 1, 2010

sajak tanpa nama




hendak kunamakan apa sajak ini?
tiada siapa pun peduli
apa pun namanya akan hilang nanti
dibawa angin resah
yang mendesah pada daun-daun bambu
lalu kekal disitu
dan tak bernama selamanya

hendak kutujukan pada siapa sajak ini?
bila aku juga sudah kehilangan kamu
yang asyik menelan kata-katamu dahulu
manis namun beracun diakhirnya
angin tetap akan mambawa khabar
dari setanggi yang terbakar.


hendak kau apakan namaku?
yang dulu bermain dibibirmu
namun kini kau benamkan
kedalam lumpur
kelemasan dan hilang 
bagai tubuh yang mati kaku.






Monday, August 16, 2010

engkau kumaafkan tetapi benciku masih kusimpan dan berkekalan



aku ingat dan sedar
tatkala aku kau umpamakan sebagai
batu untuk loncatan
menyeberangi sungai kehidupanmu,
aku kaujadikan sebuah tugu
atas nama cinta namun tidak ada setianya
dan apabila kau sudah sampai ke sana
batu itu kau terjang,
tidak kau perlukannya lagi,
aku hanya pengisi ruang kosong
seketika kau sunyi dan memerlukan
kau bagai memberi harapan namun tiada janji
kau menarik mendekati namun kau menjauhi
aku dikhianati
dan jadikan korban
atas nama percintaan.


engkau kumaafkan tetapi benciku masih kusimpan 
dan berkekalan
sebagaimana api yang membakar seluruh padang
membakar pohon-pohon
dan jika engkaupun masih di sana
aku tetap tidak sudi
memandang ke arahmu
walaupun kau akan hangus dan hancur terbakar
oleh api itu
meninggalkan arang dan debu-debu.

Saturday, August 14, 2010

dia diana





kau memilih bumi
yang langitnya tipis
dan jauh dari mentari
lalu kau akan rindu
pada terik mentari itu
yang membakar legam
tubuh ibu dan bapamu,
angin musim disini sentiasa hangat
menyebar bau asin ikan dijemuran
sedang di pasir pantai
kita melihat bahang panasnya
meruap ke udara.
tatkala turun hujan
membasah bumi 
hilangkan dahaga semusim pohon-pohon
kekalkan kehijauan sepanjang zaman.
mungkin engkau dapat bertahan
dicengkam kedinginan kabus berdebu
atau diselimuti salju
berdiri diatas istana cintamu
tapi tentu engkau tidak lama dapat bertahan
demi kerinduanku
tatkala melihat nafas akhirku kulepaskan
bersatu dengan roh nenek moyang
dan bumi ini akan tetap terus subur
hingga engkau kembali
menerima warisku
sebagaimana aku menerima
dari yang terdahulu......


klia 
12.8.2010



Friday, August 13, 2010

aku tinggalkan segala kenangan

aku tinggalkan segala kenangan
kubuang seluruh impian
tak ada yang tinggal lagi
untuk aku mengenangmu
engkau bagai sebuah pelabuhan
tempat dimana aku berlabuh
tetapi telah jauh aku tinggalkan
dan tak mungkin berbalik lagi

Monday, August 9, 2010

sinar bulan yang pecah





aku melihat pada malam
dari celah-celah jendela 
ada sinar cahaya berselerakkan
bulan yang pecah
pada retak-retak cermin
siapa yang melihat luka didadaku berdarah?
aku sumpah pada setiap titis airmata
akan gersang huma padi semusim -
rindupun sudah ku buang
dan seketika 
kehilangan maknanya!

Monday, July 26, 2010

RUANG UNTUK BERNAFAS

saya dihubungi seseorang
memohon apalah sudi kiranya
saya membuka kembali seketika
ruang-ruang hati yang sepi
dari blog ini
baginya untuk menyalin sesuatu
sebelum saya menutupnya selama-lamanya
dan saya masih seorang manusia
masih ada perasaan dalam jiwa
maka itulah
saya membuka kembali blog ini seketika
dan ambillah sesuatu atau segalanya
kerana mungkin selepas ini
segalanya akan hilang
bagai daun-daun kering
gugur, hanyut dan hilang
entah kemana....
ini ruang untuk bernafas
......


kehidupan ini sungguh bermakna (klik)

Monday, July 12, 2010

TUTUP BLOG

perjalanan harus tetap diteruskan
walau hanya berulang dalam satu bulatan



saya berfikir saya akan menutup blog dalam waktu terdekat
bukan kerana apa-apa atau siapa-siapa
cuma bagi setiap yang mula pasti ada akhirnya
dan inilah akhirnya pada sebuah laman blog yang konon-kononnya puisi
namun tak seberapa nilainya
ada juga pendapat mengatakan bahawa langsung tidak ada nilai sasteranya
saya tak kisahpun
bagaimanapun saya masih berfikir
memilih diantara 2 pilihan;
tidak akan menulis lagi namun membiarkan apa yang ada untuk sesekali dilayari mereka yang mungkin tersesat haluan, atau
menutup dengan mamadam segalanya bagai memadam kenangan
~ tidak ada pertikaian!

bukakanlah sayapmu



hiruplah udara ini dalam-dalam
bukan aku yang memberi kamu nafas dan kehidupan ini
teguklah segala air dibumi
bukan aku yang akan menghilang haus dahagamu
hulurkanlah tanganmu tinggi-tinggi
engkau sentiasa bebas mendepa tanganmu
dan melapangkan dada
segala kekuatan itu adalah hakmu
anugerah Allah
bukakan sayapmu lebar-lebar
dan terbang bebaslah
takluki angkasa raya ini
segalanya adalah hakmu
engkau tidak berhutang apa-apa padaku
walaupun dari sepatah kata
kiraikanlah segala kenangan yang engkau ada tentang aku
dan mudah kita saling melupakan
yang menitis itu airmata namun angaplah titisan hujan
jangan berpaling dan
jangan lagi memandang kebelakang
sudah tiada lagi apa-apa



Thursday, July 8, 2010

mati





mati,
padang ini tersangat luas dan aku
tidak melihat dimana mula dan dimana hujungnya
padang ini juga gersang
sebatang pohon pun tidak ada
bagaimana kelak aku dapat berteduh?
sehelai rumput juga tidak tumbuh
bagaimana nanti aku akan merebahkan diri?
selopak air pun sudah tidak bertakung
bagaimana pula harus aku hilangkan haus dahaga?
angin tidak bertiup dan burung tidak berkicau
atau mungkin aku sudah tidak lagi mendengar
tidak ada jeritan tidak ada tangisan
tidak juga rayuanmu tidak lagi seperti dulu
aku memejamkan mata
dan memasang telinga
cuba mendengar nafasku sendiri
dan aku mendengarnya
ya, pastilah aku belum mati
aku ingin menyampai pesan padamu
kekasihku,
kekasih-kekasihku
tutuplah pintu-pintumu
tutup pintu hatimu
jangan biar lagi aku memasuki
jika jasad ini sudah mati
jangan juga roh ini dibiarkan
menakluki ruang-ruang dadamu
biarkan cintaku berkeliaran
biar ia harungi duka dan rasai
azab sengsara dan
mati


Sunday, July 4, 2010

gelora

ketawa entah kerana apa...?

berbaring dan membaca pun fikiran entah kemana....?



kerana apa engkau resah gelisah dan berkeluh-kesah?
hatiku pun terlara juga hanya kerana
dia juga bukan untukku sebagaimana aku pun bukan untukmu
kenapa kita harus saling membenci
jika takdirlah yang menentukkannya sejak azali?
cinta didalam hati memang sering memperdayakan, dan
kita akan selalu diuji dalam jaga juga ketika didalam mimpi
mari kita tabahkan hati dan berpasrah
peduli apa pada rasa itu? bukan berdosa kita pada diri
ketika ada sekali angin menderu
menyibakkan rambutmu dan aku sempat seketika
menghirup nyamannya udara
dengan harum bau rambutmu
namun yang selama ini masih erat dalam gengamanku
hanyalah sehelai dari rambutmu yang gugur
tatkala engkau menunduk dan mengumpul daun-daun kering
yang jatuh dipetik angin musim kemarau
ketika didalam dada lautpun bergelora

Friday, July 2, 2010

ini perjalanan menongkah arus





ini perjalanan menongkah arus
perjalanan penuh kesulitan
menentang segala kehendak dan harapan
keputusannya bukan jelas dan nyata
tetapi aku sudah tidak lagi peduli apa
membujur lalu dan melintang patah
kehidupan ini pasti akan kuredah juga
walaupun akan bagaimana