Friday, May 9, 2014
aku bersalah...
aku bersalah
menerbangkan layang-layang
tinggi-tinggi
dan melepaskan
tak berteraju tak bertali
lalu ia jatuh 'ke tanah'
jauh-jauh
dan hilang arah
demikianlah
putik-putik kasih
yang bersemi dihatimu
dan
aku bersalah
kerana membiarkannya
tidak berbelai
aku bersalah
kerana tidak menyayangi
tatkala selasihmu
berkembang
ketika malammu kedinginan
disaat engkau memerlukan
embun basah gelisah mendesah
jiwamu
aku bersalah
kerana ketika kembali menuntut
ianya sudah bukan lagi
hakku dan bukan juga milikmu
yang tinggal hanya puing
malam-malam bening
Friday, April 4, 2014
aku ingin

aku ingin
mendaki ke puncak gunung
meredah kabus
bermain dengan awan
aku ingin
berenang di lautan
meredah angin
bermain gelombang
aku ingin
berjalan bersamamu
meredah kedinginan
bermain dengan salju
aku ingin
sentiasa disampingmu
mengharung kehidupan
mencapai impian
Wednesday, September 11, 2013
luka
akhirnya angin musim kemarau
yang meluruhkan daun-daun kering
dan menyelerakkannya diatas rumput yang tidak lagi hijau
juga datang membawa khabar
bahawa engkau
tidak lagi gembira di sana
pagimu adalah embun yang basah
pada hari yang gersang
menyulur
dari malam hati luka dan airmata
pada hari yang gersang
menyulur
dari malam hati luka dan airmata
aku yang kau campakkan dulu
hanya mampu menyembunyikan resah
didalam dada
didalam dada
.............................?
Saturday, August 10, 2013
bayangan impian
setelah itu........
engkau hilang dari pandangan
diselimuti kabus pagi
atau ditelan suram senja
suaramupun tidak lagi kedengaran
anginkah yang ingkar membawa khabar?
atau akukah yang sudah tiada upaya
menangkap isyarat dan mentafsir makna
pesanmu lewat angin
ingin aku berteriak
memanggil namamu
atau berbisik ke telinga
sambil mencium harum rambutmu
yang perlahan mengusap wajah
tatkala ditiup angin
namun engkau sudah tidak lagi menoleh
lalu berlalu meninggalkan
aku bersama kenangan;
bahawa suatu ketika engkau hadir
dan kita mengenggam janji
membina kota kata-kata
namun akhirnya runtuh
ditelan waktu yang berlalu
meninggalkan
impian dan bayangan
...................................?
Friday, February 15, 2013
ladang kehidupan
aku menyemai biji-biji benih
dari setongkol jangung yang sama
maka sebahagian darinya tumbuh subur
manakala sebahagian lainnya tidak bercambah
dari sebahagian yang tumbuh itu
hidup dan membesar subur
manakala sebahagian lainnya pula
mati layu dan kekeringan
lalu dari sebahagian pohon yang tumbuh subur itu
mengeluarkan bunga-bunga kemudian buah-buah
dan dari sepohon yang berbuah itu
menghasilkan tongkol-tongkol jagung
sebahagiannya elok-elok dan baik-baik
manakala sebahagian yang lain busuk
dan memburuk
lalu dari sebahagian tongkol yang baik-baik itu
hanya sebahagian darinya yang bakal menjadi biji benih
yang baik dan bakal menjadi pohon yang subur
dan menghasilkan buah-buah yang baik-baik pula
demikianlah perumpamaan
kepada kehidupan ini
jika kita melihatnya dan mengerti.
Thursday, January 24, 2013
untuk palestin
kita
menonton di tv
dan membaca
di akhbar-akhbar
kekejaman
zionis rejim tel-aviv
keatas
rakyat palestin
di
semenanjung gaza, di tebing barat
di
khemah-khemah pelarian
di bumi
Tuhan
palestin
diusir palestin diseksa
palestin
dibunuh
banjir bumi
palestin oleh darah palestin
rakyat
palestin kehilangan segalanya
kecuali
semangat dan keyakinan........
baitul-muquaddis
menjadi bukti
manakala
sungai Jordan menjadi saksi
ya Allah bantulah
palestin
sebelum
palestin hilang kepercayaan
sebelum
palestin berpaling ke arah lain
ya Allah
dugaan ini terlalu berat
untuk
palestin sedangkan kami
tidak mampu
membantu
ya Allah
kami hanya berharap
akan turun
bala keatas zionis
seperti
sepasukan burung
mengugurkan
batu-batu dari langit
seperti mana
mereka memusnahkan
bala tentera
bergajah
ya Allah doa
kami untuk palestin
agar teguh
menempuh hidup yang payah
hidup
palestin
biar
hapus zionis oleh palestin
biar tegak
palestin di bumi palestin
3 feb 1988
sajak ini saya tulis lama dahulu, pada tahun 1988 namun saya simpan dan tidak pernah disiarkan dimana-mana tidak juga pernah dibacakan dimana-mana namun pada hari ini bersempena Maulidul Rasul dan lawatan DS Najib ke Gaza, saya siarkannya disini untuk dikongsikan bersama..........
Sunday, December 23, 2012
MALAM GEMA PUISI PAHANG
Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama Dewan Persuratan Melayu Pahang telah mengadakan acara yang julung kalinya diadakan di Jerantut, Malam Gema Puisi Pahang pada 22hb Disember 2012 bertempat di Taman ICT Jerantut bermula jam 8.30 malam.
Deklamasi dan bacapuisi disampaikan oleh Rasdi Daud, Marsli N.O, Daeng Ramliakil, Amaruszati, Ami Masra, Zakaria Ariffin. 3 tokoh yang juga turut memberikan persembahannya adalah Dato' Mansor, Dato' Norhelan dan Encik Zubaidi Abas.
Saya juga turut diberikan ruang untuk membacakan sebuah puisi. (Klik untuk ke 'Sajak Musim Tengkujuh')
Turut membuat persembahan ialah Roslan Madun yang menyayikan lagu-lagu rakyatnya, Anas Ridzuan (mentor) menyayikan lagu-lagu yang dipopularkan oleh Sudirman manakala Kumpulan Kopratasa menutup dengan nyanyian beberapa lagu-lagu puisi dari album popular mereka.
Sebelum itu, pada awal mula, 'Kumpulan Tarian Lagu Indung' dari Ulu Tembeling membuat persembahan lagu traditional rakyat mereka diikuti oleh persembahan dari Mas Sabray. Walaupun sedikit, namun memadai menghilangkan dahaga puisi orang-orang Jerantut.
Sdr Roslan Madun
Sdr Marsli N.O.
Sdr Daeng Ramli Akil
Sdr Ami Masra
Anas Ridzuan Mentor
Dato' Mansor
Dato' Norhelan Mahamud
Kopratasa
Gambar kenangan bersama Marsli N.O.
Tuesday, October 16, 2012
tanya apa?
seketika
berkongsi masa
dalam perbezaan usia
seorang datuk dan cucunya
mencari kesefahaman
biarpun susah mencari
makna dalam kata
seusianya
segalanya adalah tandatanya
dia menanya dan aku menjawab
sehingga ada kalanya
tanya apa tidak menemukan jawabnya
kerana tanya itu datang berangkai
satu selepas yang satu.......
Wednesday, August 8, 2012
BULAN
(sajak kepada bulan)
langit malam bulan Ramadhan
dalam taburan bintang aku kehilangan bulan
dimana akan aku bertanya soalan dan memberikan jawapan
pada bicaramu tentang kalau dan keraguan;
kalau dalam kehidupan
yang entah lurus entah berliku
kalau demi kebenaran
entah betul entah menyesatkan
kalau demi kebahagian
entah kekal entahkan pergi
kalau bagi masadepan
entah senang entahkan susah
bagaimana mampu memberikan cahaya
kalau bersembunyi entah dimana
tatkala aku menanti biarpun kecil
untuk esok merayakan kebesaran
Nota kaki:
Dengan rendah hati saya
mengucapkan selamat menjalankan ibadah
berpuasa sepanjang bulan Ramadhan ini,
dan Selamat Menyambut Hari Raya
tidak lama lagi.
Maaf zahir dan batin
dari saya sekeluarga
kepada semua pembaca
yang samaada mengenali saya secara peribadi
atau hanya di alam maya
saudara mara, sahabat andai jauh dan dekat
mereka yang pernah saya kasihi dan mengasihi
............................................
Sunday, June 10, 2012
suatu waktu di sebuah pantai bernama cherating
(fragmen)
1. langit 2. laut biru 3. angin
4. ombak 5. pantai
6. seekor ketam angin
terdampar di pasir
terdampar di pasir
7. mereput
8. jadi bangkai
Friday, May 25, 2012
BAGAIMANA KALAU...
Lokasi: Tg Selangor, Pekan, Pahang.
dari bait puisi seorang kawan:
( Bagaimana kalau...,
Kabus dinihari terus
tak hilang
Walaupun sehingga tengahari
Telah hampir menjengah sore...
Malam terus pekat
Hitam memang gelap
Kabus dinihari
Tak juga hilang...
Bagaimana kalau...,
Perahu atau sayong
Telah pesok
Terus diserang air
Bagaimana kalau
penumpang tidak tahu berenang.
Bagaimana kalau...,
Di darat pula simpang-simpang
Lampu isyarat terus tidak berfungsi sampai bila-bila )
Kabus dinihari terus
tak hilang
Walaupun sehingga tengahari
Telah hampir menjengah sore...
Malam terus pekat
Hitam memang gelap
Kabus dinihari
Tak juga hilang...
Bagaimana kalau...,
Perahu atau sayong
Telah pesok
Terus diserang air
Bagaimana kalau
penumpang tidak tahu berenang.
Bagaimana kalau...,
Di darat pula simpang-simpang
Lampu isyarat terus tidak berfungsi sampai bila-bila )
kita lupakan resah gelisah
simpang siur kehidupan
susah dan payah
mencari arah
bagaimana kalau
kita kembali mencari
susur-galur derita
awal dan akhir
dimana pangkal dan dimana hujungnya
bagaimana kalau
yang sering kita temui
bukanlah jawapan
tetapi adalah soalan-soalan
hitam didalam kelam
bagaimana kalau
kita pasrahkan saja
seluruh kehidupan ini
menuju arahnya sendiri
membentuk kata dari 'Alif-Ba-Ta'
bagaimana kalau
kita saling melupakan
kerana bukan mudah
mencari makna
dari kata yang belum diucap
Tuesday, May 22, 2012
kadang-kadang aku...
kadang-kadang
akupun terlupa
untuk mengucapkan kata
walau hanya semudah
mengira 1,2 dan 3
semoga masih ada
maaf darimu
atas kealpaan itu
untuk mengucapkan
selamat hari lahir
Subscribe to:
Posts (Atom)
